Halaman

Ahad, 1 April 2012

ADAT MINANG DI NEGERI SEMBILAN





Pada masyarakat pengamal Adat Perpatih, adat itu adalah peraturan hidup di dunia: “Hidup dikandung adat; mati dikandung tanah”. Yang menjadi tujuan adat ialah kebaikan – “Adat menimbulkan yang baik, menghilangkan yang buruk”. Adat berguna kerana ia membawa ketenteraman dalam masyarakat. “Adat sentosa di dalam negeri”.


Peraturan – peraturan ini dibahagi kepada dua – yang fundamental atau yang asasi dan yang penting, dan yang tidak fundamental iaitu yang tidak asasi dan tidak penting. Bila dikatakan adat itu tidak beki, mengaku dan menerima perubahan – “Sekali air bah sekali tepian berubah” – validitinya setakat tertentu sahaja. Yang boleh menerima dan berubah ialah peraturan – peraturan yang bukan fundamental. Contoh – contoh peraturan jenis ini ialah upacara nikah kahwin (dahulu pakai baju Melayu, sekarang pakai kot dan tali leher); kelaziman (dahulu menumbuk di lesung, sekarang pakai mesin); sikap (dahulu anak perempuan ke dapur, sekarang ke pejabat). Peraturan – peraturan begini berubah pun boleh, tak berubah pun taka pa; tidak ada apa – apa padahnya pada system Adat Perpatih. Kalau ada pun padahnya, ini sementara dan tidak kekal: “Dianjak layu”. Adat kategori ini sahajalah yang termasuk dalam perbilangan:


Usung – usung diperbaharui
Lapuk – lapuk dikajangi


Yang elok dipakai
Yang buruk dibuang


Kalau singkat minta disambung
Kalau panjang minta dikerat
Kalau koyak minta ditampal




Peraturan – peraturan yang fundamental sama sekali tidak boleh diubah – “Tak lekang oleh panas, tak lapuk oleh hujan”. Contoh – contoh peraturan ini ialah hidup bersuku, mengira keturunan dan nisab ibu, sistem tanah pusaka. Hal – hal ini terlalu penting kerana ia merupakan asas dan foundation adat itu. Kalau diubah juga, runtuh dan musnahlah adat itu – “Dicabut mati”. Atas sebab inilah masyarakat Adat Perpatih tidak berganjak dari sistem perwarisan tanah pusaka mereka. Sistem tanah pusaka mewujudkan territorial unity yang instrumental dalam mengekalkan masyarakat “muafakat”. Mengubahnya akan mengakibatkan chain reaction yang akan membunuh adat itu. Peraturan – peraturan fundamental inilah yang dimaksudkan:




Dari nenek turun ke mamak
Dari makak ke kemanakan


Patah tumbuh hilang berganti
Pusaka begitu jua


Namun yang membuat peraturan ialah manusia. Pada mereka sahajalah terserah segala – galanya. Oleh itu mereka harus setia pada adat:




Adat dipakai baru
Kain dipakai usang




budi adalah nilai yang central dalam Adat Perpatih. Banyak hal – hal dalam Adat Perpatih tidak mungkin difahami tanpa mengetahui konsep budi. Hampir semua unsur – unsur Adat Perpatih ada hubungannya dengan budi.




Hati gajah sama dilapah.
Sejamban seperulangan, seperigi sepermandian.


Kaum lelaki setuju yang tanah pusaka itu hak perempuan, ini budi.
Berat sama dipikul.


Budi ini boleh disumbangkan melalui pemberian material (hati gajah sama dilapah); tenaga (berat sama dipikul); pekerti (yang tua dimuliakan); bahasa (yang merah itu saga, yang kurik ialah kundi; yang indah ialah bahasa, yang baik ialah budi).




Budi itu memang sesuatu yang boleh dibuat atau dipraktiskan.
Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama




budi merupakan satu ikatan yang erat, lebih erat dari ikatan darah dalam pergaulan hidup. Yang satu menabur budi, yang satu terhutang budi. Jadi ada semacam jenis reciprocity – balas membalas, sumbang menyumbang – yang abadi.


hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati


Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga


Tegasnya budi itu adalah satu cara hidup.
Duduk berpelasaran
Dekat rumah dekat kampong


Boleh pinta meminta
Sakit pening jenguk menjenguk


NILAI TENTANG KAUM PEREMPUAN


Dalam adar, kaum perempuan disebut “bunda kandung”, ibu yang melahirkan anggota – anggota masyarakat; atau “waris pusaka”, anggota – anggota yang boleh mewarisi pusaka. Yang mengembangkan zuriat (mengandung) ialah kaum perempuan. Kaum perempuanlah yang menentukan kualiti generasi akan datang. Baik buruk si anak bergantung pada ibu:


Kalau kurik induknya
Rintik anaknya juga


Kalau keruh air di hulu
Sampai ke muara keruhnya


Oleh itu kaum perempuan harus mempunyai jaminan hidup supaya tidak porak peranda dan supaya dapat mendidik anak dengan sempurna. Jaminan hidup dalam adat ialah tanah pusaka. Ini merupakan sumber ekonominya. Kaum perempuan boleh hidup bebas dari pertolongan lelaki. Tanah pusaka ini adalah keistimewaan mereka. Di tanah pusakalah mereka tinggal.


Bila mereka berkahwin, lelakilah yang berpindah untuk tinggal di rumah mereka – “sigai mencari enau, enau tetap sigai beranjak”. Dan kalau mereka bercerai, lelakilah yang mesti keluar. Perempuan tetap tinggal di rumah itu bersama anak – anaknya. Oleh itu tidak pernah terdapat janda yang terbiar tak berumah tak berduit hingga terpaksa menjual maruahnya. Anak – anak juga tidak berkeliaran. Adat meberi rumah, tanah dan sawah ladang kepada kaum perempuan, bukanlah kerana mereka dianggap lebih tinggi dari kaum lelaki. Kaum perempuan diberi keutamaan kerana mereka dianggap lemah dan perlu pertolongan.


Lelaki disebut “pipit jantan tidak bersarang”. Lelaki boleh tinggal dan tidur di mana – mana – disurau, di kaki lima. Tetapi perempuan tidak boleh, tidak manis, sumbang dan memalukan. Lelaki dianggap mempunyai tenaga yang lebih untuk mencari wang – boleh membanting tulang empat kerat, boleh membuat kerja yang lebih berat dan kasar daripada perempuan.


Berdasarkan keadaan yang tak sama inilah harta pusaka itu atas nama perempuan dan diwarisi oleh perempuan dari ibunya turun temurun. Kunci maruah adalah perempuan. Jika seorang perempuan membuat perkara yang tidak baik, malunya ditanggung oleh seluruh suku. Oleh itu, untuk menjaga maruah sesuku, kaum perempuan diberi kedudukan ekonomi yang teguh. Juga perempuan dikawal dengan ketat oleh waris.


Antara lelaki dan perempuan biar pun sesuku dikenakan peraturan – peraturan adat sopan yang keras. Kaum perempuan dianggap sebagai sesuatu yang suci dan indah, sebagai sumber kekuatan rumahtangga dan keselamatan dunia akhirat.


Rumusan:


1. Selagi adat tidak MENYALAHI SYARAK, maka jalankanlah adat itu supaya hidup bermasyarakat lebih teratur. Ini adat kita maka kita harus mempertahankannya. Sia - sia jadi anak Nogori.


2. Mak ayah akan menerangkan kepada anak - anak tentang HARTA / TANAH ADAT yang diwarisi turun - temurun mengikut peraturannya. Maka janganlah dipersoalkan kerana wasiat orang yang terdahulu hendaklah dipatuhi. Ajaran Islam pon cakap TUNAIKANLAH WASIAT.


3. Apabila seseorang yang masih hidup MENETAPKAN PEMBAHAGIAN HARTANYA sebelum mati, maka itu adalah WASIAT YANG WAJIB DIPATUHI.


4. Adat Perpatih dalam hal KAUM PEREMPUAN ini tidak lain dan tidak bukan menjaga maruah wanita sebagai orang yang mengandungkan anak, kaum yang lemah dan patut dilindungi, menjaga taraf anak dan keturunannya.


5. Kita lelaki yang ada tenaga lebih serta KURANG BATAS - BATAS AURAT, PERGAULAN ni boleh kerja cari harta lebih berbanding KAUM WANITA.


6. Ingatkah jawapan Rasulullah S.A.W pada pertanyaan sahabat, di mana Rasulullah S.A.W menjawab "Ibumu" sebanyak 3 kali kemudian barulah "Bapamu" ?.


7. Bacalah Surah An - Nisa, kemudian dalamilah tafsirnya. Orang yang terdahulu telah memikirkan semasak - masaknya perkara ini bukan suka - suka membuat adat. Adat yang baik dijunjung, yang lapuk dan bersalahan dengan syarak dibuang dan ditinggalkan.


Janganlah kita mentafsir adat ikut pemahaman kita yang tak tau apa - apapun, kerana emosi atau kerana pendapat orang yang BUKAN AHLI ADAT kerana mereka tak paham.


Kalau benar ADAT PERPATIH INI SALAH TERUTAMA TENTANG HARTA PUSAKA, KENAPA TIADA FATWA PENGHARAMAN DAN PEMANSUHAN DIBUAT? Renung - renungkanlah.




Yang baik datang dari Allah S.W.T. Yang buruk datang dari kejahilan saya.
Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh. Waridhwanu.


Salam Anak Negeri Di Rantau




= renungan dan pengetahuan =